Monday, 31 March 2014

Melahirkan USAHAWAN MUDA TANI

Sumber daripada : Sinar Harian - 16 April 2013




Penglibatan golongan belia, khususnya graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam program keusahawanan yang dianjurkan kerajaan menunjukkan perkembangan positif ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berwibawa dan berdaya saing pada masa depan.

Begitu pun, dalam usaha melahirkan usahawan muda berdaya maju, golongan tersebut perlu banyak belajar supaya mereka dapat menimba pengetahuan dan kebolehan sebagai persiapan diri menghadapi cabaran.

Itulah matlamat utama Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila menganjurkan Program Inkubasi Usahawan Tani, iaitu program berbentuk latihan dan keusahawanan yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani.

Program itu dizahirkan menerusi peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM3.8 juta dengan melancarkan program siri pertama pada Februari tahun lalu dan berjaya mencapai matlamat selepas 35 peserta tiga modul menamatkan program mereka.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, program itu memasuki siri kedua dengan penglibatan 48 orang yang juga Ahli Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis).

Beliau berkata, objektif program adalah untuk melahirkan siswa tani yang cemerlang dan berwibawa, selain bersedia melaksanakan projek pertanian selepas tamat berkursus.

“Ia juga menjadi penghubung bagi penempatan graduan UPM berkaitan pertanian untuk mengikuti latihan usahawan di institusi dalam dan luar negara,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Ikan Tilapia, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013, di Puchong, baru-baru ini.

Tambahnya, program itu adalah selaras dengan matlamat keempat Pelan Strategik UPM 2011 hingga 2013 yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

“Matlamat itu adalah untuk memperkasakan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan pertanian serta bio-sumber tropika. UPM akan menjadi pusat rujukan sehenti berkaitan pembangunan usahawan tani,” katanya.

Program Inkubasi Usahawan Tani 2013

Menurutnya, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013 melibatkan 48 peserta daripada pelbagai fakulti dan telah dijalankan sejak 2 Januari lalu dan berlangsung sehingga enam bulan lamanya iaitu sehingga 28 Jun depan.

Katanya, seiring dengan penyertaan dari pelbagai fakulti lain maka kini terdapat enam modul kursus yang ditawarkan kepada peserta program berbanding tiga, pada tahun lalu.

“Enam modul kursus tersebut ialah tanaman rock melon, akuakultur, ternakan ayam kampung, perkhidmatan makanan, modul perdagangan dan ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata, KPT telah memperakukan dan meluluskan peruntukan bagi tahun ini sebanyak RM2.6 juta. Jelasnya, sepanjang enam bulan mengikuti modul disediakan, dua bulan daripadanya dikhususkan untuk peserta mempelajari teori berkaitan ilmu keusahawanan, pelan perniagaan dan cara membuat persembahan di depan panel.

“Mereka juga diajar mengenai kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam menjalinkan kerjasama pada masa depan,” katanya.

“Objektif utamanya ialah untuk meningkatkan pengetahuan keusahawanan dari semua aspek, melatih peserta supaya lebih berdikari dan meningkatkan tahap keyakinan diri bagi mengharungi dunia perniagaan sebenar selepas tamat latihan,” katanya.

Baki empat bulan kursus pula banyak ditumpukan kepada latihan amali.

“Setiap peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan diberikan wang pinjaman sebanyak RM10,000 sebagai pendahuluan bagi memulakan projek mereka.

“Peserta akan dilatih bagi menguruskan projek dengan kaedah pengurusan yang terkini di samping pemantauan projek bermula daripada pengeluaran sehingga memasarkan produk.

“Sasaran utama ialah meningkatkan pengetahuan pengurusan dan teknikal projek dengan berkesan bagi memastikan peserta dapat memaksimumkan penggunaan sumber dan memastikan pulangan projek ke tahap maksimum,” jelasnya.

Katanya, sepanjang tempoh berkursus setiap peserta menerima elaun khas, RM1,000 sebulan, selain makan dan minum serta tempat penginapan.

Menurutnya, program ini menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan perjanjian turut dimeterai antara UPM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), baru-baru ini.

“Peserta juga menerima pinjaman yang disediakan oleh Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

“Kerjasama yang terjalin di antara agensi kerajaan dan swasta bagi memudahkan peserta mendapatkan modal pinjaman awal serta lokasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, ada baiknya peserta kursus meneruskan proses pembelajaran dengan syarikat swasta terutama dalam mendapatkan bantuan teknikal dan pengalaman.

“Diharap program seperti ini dapat memupuk disiplin dan kerjasama dalam kalangan peserta supaya menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Tuaian ikan tilapia merah

Sementara itu, bagi Program Inkubasi Usahawan Tani 2012, seramai 16 peserta menubuhkan lapan syarikat, sama ada secara perseorangan atau berkongsi dengan rakan untuk memulakan perniagaan masing-masing setelah tamat mengikuti program tersebut.

“Mereka mendapat pinjaman perniagaan daripada Agrobank dan Tekun bagi memulakan perniagaan masing masing,” katanya.

Lapan syarikat tersebut ialah Gemilang AgroBiz Enterprise, Fresh Farm Enterprise, Jasz Abdullah Enterprise, JL Agro Enterprise, World Garage Resources Enterprise, Jasz Enterprise dan Budget Hot Enterprise.

“Gemilang AgroBiz Enterprise memulakan projek menternak ikan tilapia merah pada Januari lalu setelah Agrobank meluluskan pinjaman RM20,000 dengan permulaan 10,000 ekor anak ikan berkenaan di 30 sangkar.

“Hari ini merupakan waktu tuaian bagi ikan-ikan tersebut selepas dibela selama dua bulan dan berat bagi setiap ikan tersebut mampu mencecah sehingga 400 gram dengan harga pasaran RM14 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta teruja dan mereka merupakan generasi baru yang secara langsung melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan juga usahawan tani.


SUMBER : http://www.sinarharian.com.my/rencana/melahirkan-usahawan-muda-tani-1.150512

Tuesday, 25 March 2014

JUTAWAN INTERNET - IRFAN KHAIRI


Assalamualaikum..
kita sering menggunakan media sosial seperti internet, tetapi kita tidak pandai mencari peluang menerusinya. Siapa sangka, penggunaan medium ini juga mampu menghasilkan pendapatan yang di luar jangkaan sama sekali. Oleh itu, terdapat seorang individu biasa yang telah melibatkan diri dalam perniagaan internet sehingga beliau digelar seorang " jutawan ". Indvidu tersebut ialah Irfan Khairi.



Irfan Khairi mula dikenali ramai apabila dia diumumkan sebagai seorang jutawan pada usia muda. Kisahnya memenuhi dada-dada akhbar saban hari menceritakan bagaimana dia mampu mengumpul RM1 juta hanya melalui perniagaan yang diusahakan secara dalam talian. Daripada situlah, nama Irfan Khairi meniti dari bibir ke bibir dan tidak kurang juga ada yang menjadikannya sebagai idola dalam mengorak langkah memulakan perniagaan secara dalam talian.

Irfan Khairi mendapat Ijazah Sarjana Muda Multimedia Design dari Staffordshire University, United Kingdom. Selepas mendapat ijazah, Irfan telah menerima tawaran bekerja di salah satu syarikat IT terbesar di Birmingham, Netmedia (UK) Ltd. Sebagai pereka cipta sistem multimedia dan perunding internet, beliau bertanggungjawab mereka cipta sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di United Kingdom yang dinamakan Learning Grid. Pada ketika ini, lebih dari 5,000 buah sekolah-sekolah di United Kingdom menggunakan sistem Learning Grid tersebut.

Oleh kerana ,minat dan latar belakangnya yang mendalam dalam bidang Internet dan perniagaan, beliau memulakan perniagaannya sendiri di Internet secara sambilan pada tahun 1999.Selepas mendapati pendapatan dari perniagaan Internetnya adalah berlipat kali ganda pendapatan bekerja 9 – 5, beliau mengambil keputusan untuk menumpukan perhatian kepada perniagaan Internet miliknya selepas satu tahun beroperasi.

Pengalaman dan cabaran dalam dunia perniagaan

Perniagaan internet beliau yang menggunakan nama IdeaBubble, sehingga sekarang telah berkhidmat untuk lebih daripada 3000 orang pelanggan dari serata dunia. Kebanyakannya dari Amerika Syarikat, UK, negara-negara Eropah, Timur Tengah, Jepun dan Australia.

Antaranya perniagaannya yang berjaya dan berkembang pesat melibatkan perkhidmatan mereka bentuk buku elektronik (e-book), mereka cipta laman web dan grafik, perkhidmatan SEO(Search Engine Optimization), menjual peta, penempatan hotel, perunding multimedia, e-Niaga dan e-pembelajaran.

Namun demikian, sebelum mencipta kejayaan, beliau mengaku mengalami kegagalan di peringkat awal mengusahakan bisnes internet. Selama setahun beliau menghadapi masalah untuk mendapatkan pelanggan, menyebabkan perniagaan yang dijalankan tidak mencapai matlamat.

Kegagalan yang dialami menyebabkan Irfan mula belajar tentang selok-belok perniagaan di internet. Hasil penelitiannya, Irfan mendapati bahawa terdapat dua kelemahan utama yang menyebabkan kegagalannya iaitu kaedah promosi yang tidak tepat dan juga kurang fokus.

Minat yang mendalam terhadap perniagaan internet telah mendorong Irfan mempelajari semula pelbagai perkara tentang pemasaran melalui menerusi internet, serta menjadikan beberapa orang pakar dalam bidang pemasaran internet sebagai contoh.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dipelajarinya sebelum ini, Irfan menyusun semula srategi perniagaannya, dengan bermodalkan kurang daripada RM500.

Dalam percubaan kedua untuk bangkit dari kegagalan itu, Irfan lebih bijak memilih kaedah promosi yang lebih sesuai dengan produk yang diketengahkan. Misalnya, Irfan telah memberi tumpuan promosi kepada pasaran Arab bagi menjual peta Malaysia, apabila mendapati produk tersebut mempunyai permintaan yang tinggi di sana.

Irfan akhirnya berjaya mengangkat perniagaannya ke landasan yang betul, apabila pendapatannya menerusi perniagaan tersebut meningkat berlipat kali ganda daripada pendapatan yang diperolehi daripada pekerjaan tetapnya. Hal ini telah mendorong Irfan menjadikan perniagaan internet sebagai kerjaya sepenuh masa.

Akhirnya, selepas tiga tahun menjalankan perniagaan internet, Irfan telah berjaya memperolehi pendapatan mencecah RM1 juta tanpa perlu ada pekerja dan peralatan komputer yang canggih.

Semenjak itu, Irfan hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan menggunakan komputer riba dan akses internet. Ketika itu, beliau baru sahaja berusia 25 tahun.

Irfan juga tidak lokek berkongsi kejayaannya dengan sesiapa pun malah beliau mencurahkan pengalamannya dengan menulis buku berjudul, “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” kepada orang ramai yang berminat mempelajari teknik berkesan untuk menjalankan perniagaan internet.

Hasil cadangan Azizi Ali yang merupakan seorang pakar kewangan tempatan itulah menyebabkan buku “Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar” ditulis manakala Azizi Ali menajdi penerbit buku berkenaan melalui syarikatnya, Truwealth Sendirian Berhad.

Buku itu telah mendapat sambutan yang di luar jangkaan sehingga mencapai tahap best seller sepanjang tahn 2005. Kewujudan buku itu sebenarnya menjadi “publisiti” yang telah membantu melonjakkan nama Irfan Khairi sebagai ikon perniagaan internet sehingga menjadi rujukan oleh pelbagai pihak.

Di pihak media, terutamanya para editor dan juga wartawan menjadikan beliau sebagai sumber bahan perbincangan mengenai isu yang berkaitan dengan perniagaan internet. Hasilnya, Irfan Khairi mendapat publisiti yang sangat meluas daripada pelbagai media cetak dan elektronik sehingga ke hari ini.

Selain buku, Irfan juga pada setiap bulan turut menganjurkan bengkel serta seminar yang berkaitan dengan perniagaan internet. Kini, beliau bukan sahaja mengajar subjek perniagaan internet pada bengkel yang dikendalikannya, malah turut mendapat tawaran memberi ceramah ke seluruh pelusuk tanah air termasuk di Institut Pengajian Awam serta Swasta. Begitulah sedikit sebanyak kisah kejayaan beliau dalam perniagaan internet.





Rahsia Kejayaan

Bercakap mengenai rahsia kejayaan, beliau mengambil contoh individu yang paling kaya di dunia ini yang turut menjadi idolanya iaitu Bill Gates.

“Saya dapati, mereka yang berjaya kerana mereka melakukan perkara yang disukai. Contohnya Bill Gates, ‘Dari awal hingga menjadi kaya, beliau buat perkara yang diminatinya iaitu pengaturcaraan (programming).

“Beliau menjadi kaya sebab buat perkara yang diminatinya. Saya juga selalu sarankan kepada peserta bengkel kendalian saya buat perkara yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa-apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat,” jelas beliau.

“Kalau hendak berjaya, kita kena fokus. Bisnes internet walaupun pasarannya terlalu besar, kita jangan fikir bahawa kita perlu menjual banyak produk baru boleh berjaya. Kalau bisnes konvensional boleh la keluar banyak produk. Tetapi internet kena kecilkan tumpuan iaitu fokus kepada kekuatan yang kita ada. Contohnya saya sendiri tidak buat semua bentuk design. Saya cuma design kulit buku dan logo sahaja.

“Saya percaya dari dulu lagi bahawa kalau hendak berjaya kita kena lakukan apa yang kita tahu, apa yang kita pandai iaitu kepakaran kita. Saya sendiri, apabila balik semula ke Malaysia, saya masih meneruskan perniagaan internet, tidak buat perniagaan yang lain. Saya tulis buku dan menganjurkan bengkel serta seminar pun adalah yang berkaitan dengan internet, bukan perkara yang lain. Kalau orang suruh saya jual makanan kesihatan, saya tidak serasi walaupun saya ada kelebihan untuk menjualnya melalui internet.

“Selain itu dan yang paling penting adalah faktor promosi. Berniaga internet bukan boleh duduk goyang kaki boleh buat duit. Bisnes kena ada usaha yang berterusan. Kena sentiasa melakukan promosi yang berterusan dengan menggunakan enjin carian dan sebagainya,” katanya.

Bagi mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan perniagaan internet, ini pesan Irfan: “Nasihat saya yang pertama ialah lengkapkan diri kita dengan ilmu perniagaan internet. Perniagaan internet bukan semudah yang disangka. Ia adalah sama seperti perniagaan-perniagaan yang lain.

“Nombor dua, selalu promote perniagaan kita. Kita tidak akan berjaya kalau kita goyang kaki. Promotion kena berterusan sampai bila-bila supaya kita dapat memaksimakan keuntungan.

“Lain dari itu kita kena sentiasa buat apa yang kita minat. Tengok kekuatan yang ada pada diri masing-masing. Lihat keserasian pada diri kita sendiri, jangan tengok orang lain jadi jutawan jual benda ini, kita pun ikut semata-mata hendak jadi jutawan itu. Kenapa kita tidak tengok kekuatan kita sendiri dan cuba ubah menjadi satu bentuk perniagaan,” nasihat Irfan lagi.Semenjak itu, Irfan Khairi hanya bekerja sepenuh masa dari rumah dengan hanya menggunakan laptop dan Internet. Dalam masa 3 tahun beroperasi, salah satu perniagaannya memperolehi untung bersih sebanyak RM1,000,000 – tanpa pekerja dan peralatan computer yang canggih. Modal permulaannya hanya RM500. Ketika itu, beliau hanya berusia 25 tahun! 

Atas inspirasi yang telah ditunjukkan, beliau telah menerima anugerah Young Innovation Award 2006 daripada Oxford Association of Management, United Kingdom.Ianya dianugerahkan atas usaha beliau dalam mendidik dan memberi inspirasi generasi baru Malaysia dalam bidang Internet dan kejayaan.


sumber: 

Info Motivasi

Keusahawanan Sebagai Pilihan Kerjaya
Ditulis oleh Nor Hartini binti Saari. Posted in Artikel

Bidang keusahawanan sudah lama wujud sebagai satu pilihan kerjaya. Sejak zaman Rasulullah SAW keusahawanan ini telah memainkan peranan yang penting dalam pembentukan tamadun Islam. Malah kerjaya sebagai usahawan merupakan pilihan utama umat Islam khususnya pada awal kedatangan Islam. Tidak terkecuali Rasulullah SAW sendiri memilih untuk bergelar sebagai usahawan pada ketika itu. Keadaan ini jelas menggambarkan kepada kita bahawa keusahawanan telah pun menjadi satu bidang kerjaya yang diceburi sejak dahulu lagi. 

Walau bagaimanapun, kebanyakan masyarakat kita kini lupa akan hakikat ini. Ini kerana mereka sentiasa menganggap bahawa kerjaya hanya melibatkan pekerjaan makan gaji dan ada majikan sahaja.Hakikatnya, keusahawanan tidak melibatkan majikan yang memberi gaji, tetapi sebagai usahawan mereka bertindak bekerja sendiri dan menjadi majikan kepada dirinya dan turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Namun begitu, lebih kurang lima puluh tahun lalu, corak pembentukan sejarah negara kita telah menyebabkan berlakunya pengasingan dalam pemilihan kerjaya mengikut golongan etnik. Pada ketika itu, keusahawanan bukan merupakan satu pilihan kerjaya bagi kaum Bumiputera yang merupakan majoriti golongan masyarakat negara ini.

Jika ada pun kaum Bumiputera yang memilih keusahawanan sebagai kerjaya, hanya dalam bentuk kecil-kecilan atau pun kerana terpaksa disebabkan kurang kelayakan untuk mendapat kerja lain. Pada ketika itu, mereka yang menjadi ‘usahawan terpaksa' ini selalunya tidak begitu bersedia dari segi kemahiran terutamanya untuk mengharungi cabaran dan dugaan dunia perniagaan. 

Begitu juga terdapat segelintir ibu bapa yang tidak mempunyai kepercayaan seratus peratus apabila mendengar bahawa anak-anak mereka ingin menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Ini disebabakan oleh peluang-peluang perniagaan yang tidak begitu menyerlah dan banyak pekerjaan lain yang lebih mudah didapati.

Kebanyakan mereka berpendapat bahawa keusahawanan adalah sesuatu yang sukar, berisiko dan merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding jika bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan sektor kerajaan. Jaminan dari segi faktor kewangan dengan pelan pencen yang baik mahupun pelan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara menambah lagi keyakinan untuk mereka bekerja di dalam sektor awam itu.

Namun begitu, apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, secara tidak langsung ia telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Berikutan itu, berbagai-bagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan Bumiputera.

Penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 yang kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Tambahan pula, Wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 yang menjurus kepada dasar-dasar kerajaan turut sama menggerakkan negara ke arah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar ini secara langsung telah meningkatkan lagi peluang-peluang keusahawanan dalam melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera.

Perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan. Begitu juga dengan institusi pengajian tinggi sudah pun mewujudkan Fakulti Keusahawanan, pusat keusahawanan dan subjek keusahawanan sebagai mata pelajaran teras. Ini adalah satu pendekatan baik yang dapat membuka minda mahasiswa dan mahasiswi tentang peluang besar yang menanti mereka yang berminat menjadi usahawan atas pilihan sendiri.

Memandangkan ramai yang menjadi usahawan atas pilihan sendiri, kita menjangkakan bahawa mereka tentunya telah bersedia untuk berjaya sebagai usahawan. Hari ini cuba kita perhatikan, sudah banyak papan iklan dan iklan-iklan di stesen radio dan televisyen yang mula memperkenalkan produk Bumiputera ini.

Perkembangan sebegini menyebabkan lebih ramai orang, terutamanya kaum Bumiputera yang mula memahami dan meminati bidang perniagaan dan keusahawanan. Ia juga boleh mengikis pandangan negatif banyak pihak mengenai kerjaya usahawan.Justeru, bagi mereka yang memilih usahawan sebagai kerjaya pilihan, mereka perlu tahu beberapa perkara asas tentang bidang perniagaan yang dipilih. Maklumat asas mengenai produk atau perkhidmatan yang hendak ditawarkan perlu dikaji. Di samping melihat kepada pasaran yang disasarkan, persaingan serta maklumat mengenai bekalan dan pengeluaran. Perkara asas ini dapat membantu usahawan untuk mengatasi ancaman dan rintangan di dalam perniagaan.

Pun begitu, pemilihan bidang perniagaan ini juga tidak boleh dilakukan secara semberono atau ikut-ikutan sahaja, iaitu mengikuti perniagaan orang lain yang berjaya tanpa mengetahui selok-belok bidang tersebut. Kejayaan orang lain dalam sesuatu bidang perniagaan tidak bererti kita juga akan berjaya dalam bidang yang sama.

Oleh itu, jika keusahawanan menjadi pilihan kerjaya hari ini, maka berusahalah menjadikan kerjaya tersebut menyeronokkan dan memberi kesan positif kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

sumber :

Tan Sri Dato Dr. Tony Fernandez - Jom terbang bersama Air Asia!


Assalamulaikum..

Jika sebelum ini saya telah memaparkan seorang tokoh usahawan Melayu Datu Yusuf Taiyoob, tokoh Habib Jewels, kini saya ingin pula menarik perhatian anda kepada seorang tokoh usahawan yang luar biasa berketurunan India, iaitu Dato’ Tony Fernandes pengasas dan peneraju syarikat penerbangan tambang murah Air Asia.




Biodata

NAMA : Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tony Fernandes
UMUR : 47 tahun
ASAL : Kuala Lumpur, Malaysia
JAWATAN : Ketua Pegawai Eksekutif / Pengarah AirAsia Berhad dan Pengasas Tune Group Sdn Bhd / Pengerusi Q.P.R. Holdings Ltd
PENDIDIKAN : Epsom College (1977-83), London School of Economics (1987)



Tony Fernandes yang kini berusia 48 tahun, dilahirkan pada 30 April 1964 kepada suatu keluarga campuran Portugis Goa(India) dan Portugis Melaka. Bapa beliau bernama Dr. Stephen Edward Fernandes dan Ibu beliau, Ena Dorothy Fernandez.

Semasa kecil beliau kerap kali mengikuti ibunya, seorang peniaga kecil kecilan, ke majlis majlis para peniaga tupperware. Dalam usia 13 tahun beliau melanjutkan persekolahan di England pada tahun 1977 dan seterusnya lulus di London School of Economics pada tahun 1987.

Beliau mulai alam perkerjaan di Virgin Atlantic sebagai auditor, kemudian sebagai kontroller kewangan di sebuah syarikat dimilik oleh Richard Branson, iaitu Virgin Record sehingga 1989.

Sekembalinya ke Malaysia beliau dilantik sebagai pengarah urusan Warner Music (Malaysia) Sdn Bhd. Sewaktu bertugas di syarikat ini beliau berjaya mencetus suatu ‘revolusi’ dalam muzik etnik, nasyid dan dangdut kedalam arus perdana muzik tanah air. Beliau berkhidmat dalam kumpulan ini dari 1992 sehingga 2001, akhir sekali memegang jawatan vice presiden kumpulan bagi kawasan Asia Tenggara.



Apa yang amat menarik tentang biografi Dato’ Tony ialah penglibatan beliau sebagai penggerak utama dalam penubuhan dan operasi Air Asia, syarikat penerbangan tambang murah yang paling berjaya di Asia. Bermula dengan dua buah kapal terbang Boeing 737 yang usang tatkala masih dimiliki kerajaan, kini kumpulan Air Asia yang diterajui Tony Fernandes sejak tahun 2001 telah maju dari setapak ke setapak sehingga kini memiliki 62 buah kapal terbang dalam perkhidmatan dan 277 buah lagi dalam pesanan. Setelah kesemua kapal terbang ini beroperasi nanti, ini mungkin menjadikan kumpulan penerbangan Air Asia sebagai kumpulan penerbangan tambang murah yang tebesar di dunia.


Kini kumpulan Air Asia berkhidmat melalui 142 laluan dan 78 destinasi dengan sejumlah 400 penerbangan sehari di Asia, dan juga ke Australia dan Eropah. Dalam tahun 2011, Air Asia telah menerbangkan sejumlah 30 juta penumpang dari pelbagai negara.

Jati diri Tony Fernandes



Kejayaan luar biasa selalunya di hasilkan oleh seseorang yang juga mempunyai peribadi yang luar biasa yang membantu dalam setiap langkah yang dilalui. Pertama sekali ialah wujudnya minat untuk berniaga yang perlu untuk mendorong seseorang kearah itu. Dalam diri Tony Fernandes, beliau banyak dipengaruhi oleh ibu beliau yang aktif dalam menjual tupperware ke serata tanah air. Bagi Tony, ibu beliau adalah seorang wanita yang mengkagumkan kerana kemampuannya yang luar biasa dalam menjual barangan kepada sesiapa sahaja. Justeru itu beliau banyak belajar dari peribadi ibu beliau yang ternyata begitu penting dikala mengharungi alam perniagaan.

Bapa beliau, Dr Stephen Edward Fernandes, sebaliknya amat berbeza daripada peribadi ibunya. Dr. Fernandes memiliki sebuah klinik, tetapi tanpa keuntungan kerana terlalu bermurah hati kepada setiap pesakit sehingga kerap kali memberi perkhidmatan dan ubat secara percuma. Tony sungguh tidak terpikat dengan cara cara bapa beliau berniaga.

Pada sekilas pandang memang ada ciri ciri yang serupa diantara Tony dengan ayah beliau. Jika ayah beliau memberi keistimewaan kepada pesakit yang miskin, Tony juga memberi fokus kepada rakyat yang kurang mampu untuk membeli tiket penerbangan biasa. Tetapi bezanya, jika ayah beliau membantu pesakit dengan tujuan mengurangkan bebanan mereka, sehingga mengorbankan keuntungan, Tonya juga membantu rakyat yang tidak mampu membeli tiket kapal terbang, tetapi beliau tetap terikat dengan prinsip perniagaan berasas keuntungan dan lestari ( berkekalan).

Kemampuan beliau berkomunikasi, mempengaruhi orang dan semangat yang kental amat mengkagumkan dan merupakan satu ciri yang diwarisi dari ibu beliau. Selain itu zaman persekolahan dalam usia yang sangat muda (umur 13 tahun) di sekolah berasrama di England, juga memberi kesan yang mendalam kepada peribadi beliau. Di sana, berjauhan dari keluarga dan kampung halaman, membentuk nilai teras dalam peribadi beliau, terutama kemampuan berkomunikasi dan berdikari dalam apa jua suasana.

Ibu beliau meninggal sewaktu Tony hanya berusia 15 tahun meninggal kesan yang mendalam kepada beliau. Ia meninggalkan kekosongan dalam hidup dan membantu dalam membentuk peribadi yang cekal dan mampu berdikari di mana sahaja.

Jika di lihat dari segi kecenderungan usahawan mengambil risiko, Tony adalah contoh yang amat ekstrim. Beliau adalah seorang yang nampaknya hyperactivebegitu fokus dalam melaksanakan perkara yang beliau minati, sehingga sanggup menggadai apa sahaja yang beliau miliki walaupun masih jauh daripada mencukupi sebagai modal syarikat. Mungkin ini bukan suatu perkara yang menghairankan, jika yang diminati itu matlamat yang biasa, tetapi untuk memiliki sebuah syarikat penerbangan sudah tentu bukanlah sesuatu dalam jangkaan untuk seorang yang tidak memiliki modal yang cukup dan hanya berbekalkan minat dan semangat yang kental.

Sungguhpun demikian adalah kurang tepat menyatakan yang Tony bersikapreckless dalam membuat sesuatu pertimbangan kerana beliau tetap mementingkan soal keuntungan. Malah beliau amat yakin kepada soal potensi pertumbuhan yang tinggi dalam industri penerbangan di Asia sebelum menceburi sektor tersebut.

Bagi menentukan kejayaan, sikap beliau yang fokus kepada sesuatu projek adalah suatu ciri yang tepat dan dapat membantu mengurangkan risiko. Beliau berkata, ” Saya bukanlah seseorang yang suka memulakan dua puluh benda dan kemudian berharap tiga akan berjaya. Saya lebih berminat memulakan dua atau tiga dan tentukan ia berjaya, kemudian laksanakan usaha usaha seterusnya”. Sikap ini biasa kita nampak ada pada usahawan terkemuka seperti Tan Sri Syed Mokhtar, Mydin, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Teh Hong Piow di tanah air kita dan usahawan usahawan seperti pengasas Microsoft, Apple, Facebook, Ford Motor Company, Honda Motors dan banyak lagi di arena global.

Cara cara Tony menempuhi Halangan

Kemampuan berkomunikasi timbul daripada personaliti yang yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi yang di asah semasa belajar dan berkhidmat di England dan di Kuala Lumpur. Selain itu beliau juga menunjukkan sikap minima ego dan bersedia forgive and forget yang membolehkan beliau membuat pertimbang yang terbaik untuk syarikat dalam sesuatu waktu. Misalnya dalam berurusan dengan Kerajaan Singapura untuk mendapat kebenaran mendarat di sana beliau telah berhadapan dengan rintangan demi rintangan yang berlarutan, yang biasanya melunturkan semangat orang biasa. Walaupun demikian beliau masih boleh lagi berinteraksi dengan pegawai pegawai kerajaan Singapura dengan baik, sambil menganggap detik detik pahit yang dilalui hanya sebagai cabaran dalam mengembangkan laluan Air Asia. Kini Air Asia mengadakan 26 penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Singapura sehari.


Sebelum itu, cabaran yang pertama beliau lalui timbul dari sikap masyarakat perniagaan Malaysia sendiri yang bersikap sinikal terhadap rancangan beliau menubuhkan syarikat penerbangan. Perkara ini tidak melunturkan semangat beliau, malah dengan pantas, melalui Dato’ Pahamin Rajab, belia berjaya meyakinkan Tun Mahathir, Perdana Menteri ketika itu, untuk meluluskan rancangan beliau, mulai dengan cara mengambil alih syarikat penerbangan Air Asia, sebuah syarikat yang nyata gagal dan dimiliki oleh kerajaan.

Setelah mulai berjaya dengan syarikat Air Asia, beliau mengalih fokus untuk menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hub penerbangan tambang murah di rantau Asean. Beliau tahu ini satu perkara yang amat sukar diterima kerajaan kerana negara perlu mengukuhkan kedudukan KLIA yang baharu sahaja siap diketika itu. Tetapi Tony never takes no for an answer. Beliau menggunakan media massa untuk mempengaruhi masyarakat dan kerajaan. Akhirnya kerajaan bertegas menolak cadangan Air Asia demi kepentingan negara, tetapi dalam proses ini Tony berjaya mendapat laluan laluan udara yang baru serta mendapat LCCT yang baru di KLIA dengan kadar tariff yang berdiskaun. Ini membantu Air Asia mengukuhkan daya saing ketika berhadapan dengan Malaysia Airlines dan syarikat syarikat penerbangan yang lain.

Demikian juga Tony menempuhi beberapa cabaran dalam usaha mendapat hak mendarat di lapangan terbangan Bangkok, Jakarta, Hong Kong dan banyak lagi sama ada di Asia ataupun atau benua benua lain. Namun nampaknya pengalaman di Singapuralah yang paling mencabar.

Mengikut buku The Air Asia Story ditulis oleh Sen Ze dan Jayne Ng, bagi Tony, kualiti seorang Usahawan yang paling penting ialah kecekalan atau dalam Bahasa Inggerisnya willing to never take no for an answer. Bagi Tony, “Berpeganglah dengan keyakinan anda. Jika anda terlalu mendengar kata orang lain, anda tidak mungkin dapat memulakan sesuatu. Sebab itulah mereka tidak menjadi usahawan. Orang yang memberi nasihat itu bukanlah usahawan. Jika tidak, sudah tentu mereka melaksanakan sendiri. Kita hanya perlu yakin dan laksanakannya”

Akhir sekali, anda jangan lupa peranan pendidikan dalam membantu Tony dalam menjayakan kerjayanya. Beliau adalah seorang Fellow Member of Association of Chartered and Certified Accountants (ACCA) dan berkelulusan dari London School of Economics

Oleh itu, berdasarkan kejayaan dan pengalaman yang dilalui oleh Datuk Tony Fernandez ini ialah setiap yang kita inginkan pasti tercapai sekiranya kita berani menerima risiko dan berani mencuba. Peluang untuk mengasah bakat dan kemahiran ada dimana - mana sekiranya kita pandai mencari peluang dan menggunakan ia dengan sebaiknya. Bak kat pepatah, " di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Sumber : 


Monday, 24 March 2014

Jom kenali Datuk Habib Mohamed Abdul Latif!


Perusahaan barang kemas berkualiti Habib Jewels sememangnya tidak asing lagi dikalangan masyarakat khususnya golongan wanita. Barang kemas yang memiliki keunikkan yang tersendiri ini seringkali mendapat perhatian masyarakat tempatan dan juga luar negara. Oleh itu, pada kali ini saya akan meceritakan serba sedikit berkaitan dengan barang kemas ini, dan yang paling penting ialah orang kuat di belakang perniagaan barang kemas Habib Jewels ini. Jom kita kenali siapa dia!






PROFIL

Datuk Habib Mohamed Abdul Latif

Jawatan: Pengasas Habib

Usia: 83 tahun

Asal: Pulau Pinang

Nama isteri: Ummu Latifah (Allahyarhamah)

Bilangan anak: 5

Nama anak: Siraj, Siti Jawaahari, Sabariah, Meer Sadik dan Siti Shariffah





5 dekad merendah onak duri membina nama, Habib terus unggul dalam dunia manikam. Kurang setahun menyamai usia kemerdekaan negara, hari ini jauhari, Datuk Habib Mohamed Abdul Latif boleh bernafas dalam selesa dengan 19 cawangan di merata negara. Tetapi, katanya, ‘mengekalkan usia kemerdekaan’ itu dalam persaingan pelbagai jenama hari ini, lebih rumit daripada membina jenama itu 51 tahun lampau.Pada usia 83 tahun, serangan strok dialami lebih 10 tahun yang lalu, tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk sering meninjau premis perniagaannya yang kini ada cawangan di seluruh negara.

Habib membina langkah sebagai MA Habib Mohamed di Pit Street, Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai ‘Jewellery Corner’. Bermula sebagai perniagaan keluarga yang diusahakan secara kecil-kecilan, ia berkembang kepada Habib Corporation Berhad yang menyediakan pelbagai pilihan barangan kemas untuk semua golongan usia. Menyifatkan kejayaan hari ini hasil tuai masa lampau, beliau tidak lokek berkongsi kisah suka dalam dunia yang amat dicintai itu. Sebagai pedoman kepada generasi akan datang, beliau abadikan kenangan naik turun dalam bidang perniagaan dalam sebuah buku yang mungkin akan diterbitkan tidak lama lagi.

Pembabitan dan rahsia kejayaan

Pembabitan beliau dalam bidang perniagaan barang kemas bermula secara kecil-kecilan saja. Kemudian, beliau telah memilih perniagaan emas secara serius sebagai bidang utama dalam mengorak langkah untuk mencapai kejayaan. Alasan beliau memilih perniagaan emas kerana tidak perlu bersusah payah di tengah panas membanting tulang, dan lagi pun, emas itu tidak pernah turun harga. Pada 1958 bermulalah episod hidup sebagai peniaga barangan kemas dengan modal RM3,800, bermula di Pulau Pinang dengan nama MA Habib Mohamed. Ketika itu beliau mengambil barang kemas daripada kedai pajak dan dijual kepada kedai emas lain, seperti pemborong. Daripada perniagaan yang kecil ia bertambah besar. Ketika itu memang beliau tidak mempunyai sebarang idola dan hanya memikirkan untuk membuka perniagaan barang kemas pada harga berpatutan saja mengikut cara perniagaan yang saya aturkan sendiri rentaknya. Lagipun pada masa itu perniagaan bersifat untuk menyara hidup saja sehingga beliau tidak sangka perniagaannya terus mendapat keuntungan.


Rahsia kejayaan beliau adalah beliau berpegang kepada prinsip kesungguhan dan kejujuran. Beliau berfikir bahawa untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya, kerja keras dan kejujuran itu amat penting sekali. Hal ini demikian kerana baginya itu merupakan kunci utama dalam mencapai matlamat yang diidamkan. Menarik mengenai Habib juga ialah yang boleh membezakan jenama mereka dengan jenama lain ialah mereka tidak sekadar menjual, sebaliknya memberikan rundingan kepada pelanggan. Malah mereka juga mempunyai pelanggan yang sangat setia kerana yakin dengan produk dan kualiti ditawarkan sungguhpun kedai barang kemas tumbuh bagai cendawan lepas hujan. Oleh itu, Datuk Habib berpendapat bahawa kejujuran elemen utama kenapa perniagaan mereka boleh bertahan lama. Tambahan lagi, syarikat mereka turut menjadi peniaga barangan kemas pertama di Malaysia tersenarai pada papan kedua Bursa Malaysia (selepas 1998 dikenali sebagai Kuala Lumpur Stock Exchange). Pada 2002, syarikat induk, Habib Corp Bhd, berpindah ke papan utama. Syarikat kemudian berubah kepada penswastaan pada 2005.




Kejayaan yang diraih 

Seterusnya, anugerah yang pernah Habib menangi antaranya ialah pada 2001 The Malaysian Book of Records untuk rekaan Bangunan Berkembar Petronas yang direka dengan berlian, batu permata dan emas dengan nilai lebih RM1 juta. Pada tahun yang sama, Habib menerima Anugerah The ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ daripada Suria KLCC apabila memperkenalkan koleksi berlian coklat yang dikenali Habib’s Hazel Collection. Pada 2002, Habib menerajui pasaran antarabangsa menerusi kerjasama dengan jenama barangan kemas terkemuka dari Itali Chimento dan juga jenama berlian Hearts On Fire, berlian yang mempunyai potongan terbaik dunia. Pada tahun itu juga, sekali lagi Habib menerima ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award daripada pengurusan Suria KLCC. Rekaan kreatif Habib iaitu rekaan baju dalam wanita yang direka dengan 100 peratus emas, dicalonkan dalam 100 pencalonan pertama The Gold Virtuosi Award, yang diiktirafkan oleh badan antarabangsa The World Gold Council.

Sekali lagi Habib tersenarai di Malaysian Book of Records untuk rekaan gaun berlian termahal dunia bernilai RM19 juta. Gaun eksklusif ini diikat menggunakan 2,500 butir berlian Hearts On Fire. Habib juga menjadi jenama barangan kemas pertama tersenarai di papan utama Bursa Saham Malaysia. Pada 2003 dan 2004, Habib menerima sekali lagi ‘Best Retailer in Jewellery and Timepieces’ Award daripada pihak pengurusan kompleks Suria KLCC, sementara pada 2005 sehingga 2007 Habib mengekalkan prestasinya untuk menerima anugerah ‘Gold Trusted Brand’ untuk kategori jenama barangan kemas yang boleh dipercayai daripada Reader’s Digest Trusted Brands Awards. Pada 2007, jenama itu memenangi anugerah the Brand Laureatte 2008/2009 di dalam kategori, Jenama Barangan Kemas Terbaik dan Penjenamaan Korporat.

Begitulah serba sedikit mengenai usahawan barang kemas terkenal Malaysia, Habib Jewels iaitu Datuk Habib Mohamed Abdul Latif. Segala perkara yang di alami oleh beliau dalam mengejar kejayaannya sekarang sememangnya banyak memberi tindak balas bernas kepada saya. Kesungguhan dalam mencari peluang perniagaan untu memajukan diri seperti Datuk Habib sememangnya patut dicontohi dan dipraktikan untuk memantapkan lagi kiteria sebagai seorang usahawan. Selain itu, sikap berani menerima risiko yang dimiliki oleh Datuk habib juga perlu ada dalam diri seorang usahawan untuk dijadikan sebagai faktor penarik dan unsur motivasi untuk terus berjaya dalam perniagaan.

Sumber :


Sunday, 23 March 2014

Tokoh di sebalik Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd


Anda pasti pernah dengar produk kurma berjenama Yusuf Taiyoob bukan? Ingin tahu sejarah kehidupan pemilik produk ini sehingga beliau mampu bergelar datuk? Usahawan Melayu Islam yang sangat sinonim dengan produk kurmanya ini bernama Datuk Yusuf Taiyoob, 47, yang memiliki empayar perniagaan sendiri bernama Yusuf Taiyoob Sdn Bhd. Berikut merupakan biodata ringkas mengenai usahawan buah kurma ini :





PROFIL

NAMA: Datuk Yusuf Taiyoob

JAWATAN: Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd

ASAL: Georgetown, Pulau Pinang

ISTERI: Datin Yusnita Ramli

ANAK: Waseem (9), Safiya (6) dan Safina (3)

ADIK-BERADIK: Anak sulung daripada empat beradik

JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan.



Datuk Yusuf Taiyoob, 47 pemilik syarikat kurma dan makanan berpangkalan di Pulau Pinang itu pernah muntah darah kesan pendarahan yang serius dalam perut kerana berdepan tekanan apabila perniagaan pertamanya, penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, jatuh merudum walaupun mendapat sambutan menggalakkan di peringkat awal. Ketika itu, usianya baru 19 tahun. Akibat tekanan hebat dan tidak dapat menghadapi kenyataan pada usia muda, beliau tidak dapat tidur malam dan menjaga pemakanan sehingga pada satu malam dia dikejarkan ke hospital dalam keadaan separuh sedar. Selain itu, Banyak cabaran yang terpaksa dilaluinya sebelum mencapai tahap sekarang Katanya, beliau pernah dihalau danproduknya dicampak begitu saja tanpa dilihat terlebih dulu. Namun, cabaran yang dihadapi itu sama sekali tidak melemahkan semangatnya, malah selepas peristiwa muntah darah serius sehingga tubuh badan kurus akibat perniagaan merudum, beliau terus mencari peluang untuk membuka perniagaan baru di lokasi lain. Kesungguhan beliau untuk berjaya dalam bidang perniagaan sememangnya tidak dapat dinafikan. Zaman remaja beliau sudah bermandikan cabaran demi cabaran dalam dunia perniagaan. Bermula dengan penjualan minyak wangi di Lapangan Terbang Bayan Lepas, yang diadun sendiri oleh beliau ketika berumur 19 tahun, penerimaan pada peringkat awal adalah sangat memberangsangkan.




Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf Taiyoob terpampang besar di satu sudut. Memang tidak dapat dinafikan, dugaan yang beliau hadapi, memberi kesan terhadap usahanya menjadi seorang usahawan berjaya. Namun, beliau nekad untuk menukar bentuk perniagaan yang lain dengan mengimport makanan termasuk kurma secara kecil-kecilan. Tanpa beliau sedari, Ketabahannya itu membuahkan hasil apabila perniagaannya berkembang maju sehingga beliau mampu menjadi pengeluar dan pembekal buah kurma dan makanan untuk pasaran tempatan serta negara jiran termasuk Singapura, Indonesia, dan Thailand. Kini, anak sulung daripada empat beradik itu mempunyai lebih 1,000 pengedar di negara ini tidak termasuk di luar negara dan hampir 50 kakitangan di pejabatnya. Bilangan pekerja itu tidak termasuk pekerja di tiga gudang di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.




Beliau yang enggan memberitahu nilai jualan syarikatnya, berkata kini syarikatnya membekal 35 jenis kurma seperti Rotab Bam, Safia, Mariami, Safawi, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara pada harga antara RM3 hingga RM120 sekilogram. Kurma itu diperoleh dari Asia Barat dan Afrika Selatan, termasuk Tunisia, Oman, Iran, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.

"Saya pilih buah berkualiti tinggi berbanding yang ada di pasaran. Pelanggan kami mengetahui kualiti buah ini dan sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkannya," katanya.

Syarikatnya juga mengimport pelbagai makanan kering seperti rempah ratus untuk masakan dan bahan membuat kuih-muih dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat.Dengan tempahan yang semakin memberangsangkan di beberapa negara Asia Tenggara, memaksa syarikat yang kian berkembang untuk memiliki kilang sendiri bagi menempatkan stok dan membungkus produk dengan jenama sendiri, Yu Ta. Kilang yang dibina di kawasan seluas hampir lima hektar di Bukit Minyak, Seberang Prai Tengah, bakal siap sepenuhnya menjelang Mac depan dengan kos RM20 juta. Selain itu, beliau juga berharap perniagaannya terus berkembang maju dan bagi membolehkan beliau membantu masyarakat yang memerlukan. Bapa kepada tiga anak yang berusia satu hingga tujuh tahun, berkata rezeki yang diperoleh itu sentiasa dikongsi bersama golongan kurang bernasib baik pada sepanjang masa. Kesibukannya yang bertugas dari pagi hingga malam, termasuk hari cuti tidak menghalang daripada menjalankan kerja kemasyarakatan.



Begitulah serba ringkas kisah seorang usahawan tempatan, Datuk Yusuf Taiyoob. Bukan senang nak senang. Tiada jalan pintas untuk kecapi kebahagiaan. Bermacam-macam dugaan yang Tuhan berikan. Namun, berkat, usaha dan keyakinan terhadap kekuasaan Allah S.W.T, beliau mampu membuka fenomena baru dalam perusahaan kurma di negara kita. Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’, malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran ‘Datuk Kurma’. Semangat dan kesungguhan yang ditonjolkan oleh beliau menunjukkan beliau sememangnya mempunyai wawasan untuk menjadi individu yang berjaya. Sebagai seorang pelajar jurusan perniagaan, semangat sebegitu sememangnya diperlukan dalam menentukan halatuju masa depan yang bakal dihadapi kelak. Di samping, Datuk Yusuf bukan hanya memikirkan keuntungan semata - mata, tetapi turut mementingkan aspek sosial dan kemasyarakatan. Beliau berkongsi kejayaan yang diraih bersama masyarakat melalui aktiviti beramal, memberi derma kepada golongan yang memerlukan. Hal ini secara tidak langsung memberi saya satu input berguna bahawa untuk menjadi seorang usahawan yang dikenali ramai, ia tidaklah bergantung pada faktor pencapaian sahaja tetapi aspek etika dan nilai murni seharusnya turut dititik beratkan supaya mendapat penilaian yang positif daripada masyarakat.

Justeru, semoga kisah Datuk Yusuf Taiyoob ini dapat memberikan anda semangat untuk sentiasa sukses dalam kehidupan anda. Saya juga masih lagi mencari-cari jalan ke arah kebahagiaan dan kesenangan hidup di dunia mahupun di akhirat.





























Tujuan??


Assalamualaikum..selamat berjumpa kembali warga blogger sekalian :)
okay..macam first entry hari tu..saya telah memperkenalkan latar belakang diri saya dan juga tahap penglibatan  saya dalam duni blog ini. Oleh itu, pada entry kali ini saya akan menyatakan tujuan saya membangunkan blog sehingga mampu menarik lagi ramai pembaca blog untuk singgah ke blog saya serta mengikuti setiap perkembangan yang di dalamnya. Tujuan utama blog ini dihasilkan adalah untuk mengetengahkan usahawan -usahawan berjaya di Malaysia yang mana kebanyakkannya telah menempa nama di dalam negara mahupun pada peringkat antarabangsa.
selain itu, blog ini juga adalah untuk memenuhi tugasan yang telah diberikan dalam subjek Kemahiran dan Gelagat Usahawan ( BPME 2013 ) untuk lebih mengenali individu yang telah berjaya dalam perniagaan dan juga kehidupan mereka. Di samping itu, tugasan ini juga turut menggalakan saya untuk mengenalpasti faktor pendorong dan strategi yang digunakan oleh usahawan - usahawan ini serta artikel - artikel berkaitan dengan pembangunan keusahawanan . Antara usahawan yang saya pilih ialah Datuk Yusuf Taiyoob, Tan Sri Tony Fernandez, Datuk Habib, Irfan Khairi, dan lain-lain lagi. Justeru itu, hal ini secara tidak langsung memberi impak kepada diri saya sama ada luaran atau dalaman seperti faktor motivasi, mencari peluang, mengembangkan idea dan lain -lain sebagai satu batu loncatan kepada saya untuk lebih mendalami perkara yang berkaitan dengan bidang perniaagan dan keusahawanan. 
oleh itu, beberapa orang usahawan akan saya ketengahkan pada entry yang seterusnya berkaitan dengan maklumat peribadi dan juga faktor kejayaan mereka.