Friday, 2 May 2014

usahawan kasut dunia =)

Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo

Dianugerahkan dengan gelaran ‘Datuk’ oleh Sultan Pahang atas kejayaannya dalam bidang fesyen.
Mendapat anugerah gelaran ‘Profesor’ oleh University of the Arts London atas sumbangannya dalam bidang fesyen.Merupakan rakyat
 Malaysia pertama yang mendapat anugerah “Order of the British Empire” OBE (Knighthood) oleh Permaisuri England, Queen Elizabeth II pada tahun 2002.
Dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang juga membawa gelaran Dato’.

Siapa yang tidak kenal dengan figura terkenal ini?

Nama Jimmy Choo sinonim dengan kasut yang eksklusif dan bergaya. Beliau bukan sahaja seorang pereka kasut tetapi juga seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan hasil seninya. Beliau mendapat ilham dan inspirasi rekaannya daripada alam semula jadi seperti pokok dan bunga dan juga dari keadaan sekeliling seperti hiasan dalaman di tempat-tempat yang dilawatinya. Beliau sangat teliti dalam membentuk acuan kasut yang terdiri daripada bahagian atas, tapak dan tumit bagi memastikan kasut rekaannya seimbang supaya pemakai kasutnya berasa selesa dan selamat walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi.

Jimmy Choo dilahirkan di Pulau Pinang, Malaysia pada tahun 1961 dalam sebuah keluarga di mana, ayahnya menjalankan perniagaan membuat kasut. Beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut daripada ayahnya iaitu seorang tukang kasut sepenuh masa.

Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Shih Chung dan tamat pembelajaran beliau pada tahun enam. Beliau menolong ayahnya dan berjaya menghasilkan kasut pertama pada umur 11 tahun. Menyambung pengajian dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di London. Pada tahun pertama, bapanya menanggung pengajiannya tetapi untuk 3 tahun yang seterusnya, beliau melakukan kerja secara separuh masa sebagai pencuci di restoran dan juga di kilang kasut demi mencari sesuap nasi dan menampung pengajiannya.

Selepas tamat pengajian, beliau mencuba untuk membuka kedai kasutnya dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan. Beliau mengharungi 4 tahun yang mendukacitakan kerana jualan kasutnya amat menyedihkan. Setelah empat tahun bertungkus lumus, rekaan beliau mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot.

Empat tahun berlalu apabila mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan beliau lantas membelinya sekitar tahun 1990. Semenjak daripada hari itu, dia terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo dan menyebabkan nama Jimmy Choo terus melonjak di persada antarabangsa. Pada tahun 1996, beliau mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama Tamara Mellon, editor British Vogue. Pada April 2001, Choo menjual pegangan 50% dalam syarikat dengan harga sebanyak £ 10 juta untuk menumpukan kerja-kerja yang dilakukan pada Jimmy Choo Couture yang dihasilkan di bawah lesen daripada Jimmy Choo Ltd.

Kini jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia. Sepasang kasut wanita dijual sehingga mencecah beribu-ribu US dollar. Antara pelanggannya ialah Natalie Imbruglia dan Katie Holmes. Banyak orang terkenal memakai dan menempah kasut beliau. Kasut Jimmy Choo juga mula muncul dalam filem-filem terkenal seperti The Devils Wear Prada (kasut dipakai oleh Meryl Streep) dan In Her Shoes (kasut digayakan oleh Cameron Diaz). Kasut Jimmy Choo juga mula muncul dalam filem terkenal Hollywood seperti The Devils Wear Prada (Meryl Streep) dan In Her Shoes (Cameron Diaz).
sumber : USAHAWAN.COM

Friday, 25 April 2014

Servis Lipat Kain Mampu Jana Pendapatan

Assalamualaikum..pada hari ini saya ingin berkongsi tentang satu peluang pendapatan yang agak menarik iaitu berkaitan dengan sevis lipat kain. Artikel ini saya perolehi di MYNEWSHUB.MY. Jom baca mengenai artikel ini!


Anda terlampau sibuk sehinggakan tiada masa untuk melipat pakaian anda dan seisi keluarga?

Jangan risau kerana kini terdapat satu perkhidmatan melipat pakaian di mana mereka hanya mengecas anda sebanyak RM2 bagi setiap satu kilogram pakaian yang perlu dilipat.

Memetik laporan Berita Harian, perniagaan pertama seumpamanya ini diasaskan oleh Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee, yang merupakan pemilik Guru Niaga Enterprise.

Menurutnya, perkhidmatan Servis Lipat Kain (SLK) kini menyasarkan 140 ejen utama di seluruh negara pada tahun ini.

Noorrizan turut menambah perkhidmatan ini mampu menjana pendapatan sebanyak empat angka bagi ejennya setakat ini.


Sunday, 20 April 2014

Tips Mendapatkan Ramai Pengunjung Bagi Pemilik Blog



Rajin kemaskini Blog Anda
Tips Mendapatkan Banyak Pengunjung Blog: Kekerapan menambah posting dalam blog merupakan perkara paling penting untuk menarik lebih ramai pengunjung ke blog anda.

Semakin banyak artikel yang anda tulis, maka semakin banyak juga artikel yang terindeks oleh mesin carian. Ini menyebabkan blog dianggap berkualiti dan akan disarankan oleh mesin carian, dan mungkin akan ditempatkan di halaman pertama keputusan carian kata kunci.

Namun dalam mengarang sesuatu artikel, janganlah terlalu memikirkan keaslian semata-mata. Ada beberapa etika yang harus diikuti seperti:

  • Artikel harus haris karangan asli. Jangan menciplak artikel orang lain.
  • Pilih kata kunci yang kerap dicari tetapi persaingan rendah (kamu boleh menggunakan Google Adwords)
  • Gunakan struktur artikel yang baik (rujuk kepada laman Wikipedia)

Tampilkan URL Blog Di Foto Profil Facebook
Facebook merupakan media sosial yang paling popular di zaman ini. Tidak salah untuk kita memanfaatkan populariti Facebook untuk menarik lebih ramai pengunjung ke blog kita.Daripada pelbagai tarikan Facebook, foto profil mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sewaktu pertama kali berkenalan dengan sesiapa di Facebook, nama dan foto profil merupakan perkara yang pertama dilihat. Oleh yang demikian, buatlah pilihan yang terbaik dan yang memberi kesan positif pada foto profil kamu (“Sebuah buku akan laris jika muka depannya bagus dan menarik”).



Jadilah Blogger Jemputan di Blog Lain
Blogger jemputan merupakan seorang blogger yang bertandang ke blog lain untuk menjadi penulis di situ.

Antara faedah yang diperolehi apabila menjadi bloger jemputan adalah:
  • Anda akan dikenali oleh pemilik serta pembaca blog yang kamu lawati
  • Melatih kemampuan kamu dalam penulisan
  • Meningkatkan kredibiliti kita
Mengadakan Peraduan

Peraduan merupakan salah satu cara mendapatkan limpahan pengunjung, kerana percaya atau tidak, dengan mengadakan peraduan maka pengunjung blog kita mampu bertambah.

Antara peraduan yang biasa dibuat adalah:
  • Peraduan SEO. Biasanya diadakan berdasarkan kata kunci tertentu
  • Peraduan membuat ulasan. Biasanya dilakukan supaya orang ramai membuat post artikel yang berkaitan dengan blog kita.
  • Anda tidak perlu risau tentang hadiah. Ini kerana hadiah tidak semestinya mahal, tetapi hadiah yang sederhana dan berguna untuk peserta peraduan.

Pakai Baju-T Yang Mempunyai Tulisan Alamat Blog Anda


Baju-T merupakan pakaian yang boleh dipakai sesiapa sahaja. Jadi ambillah kesempatan menggunakan Baju-T untuk mengiklankan blog anda dengan mereka corak Baju-T yang menarik dan muatkan dengan nama dan alamat blog anda. Anda boleh memakainya sendiri dalam segala aktiviti. Atau anda boleh memberikannya kepada sahabat rapat anda.

Sunday, 13 April 2014

Aiskrim Goyang Mampu Jana Pendapatan Lumayan


Oleh Haslinda Zainal

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Siapa sangka perniagaan aiskrim 'goyang' yang diilhamkan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Malik Mizan, 54, menerusi jenama 'Best Ice Cream' mampu menjana pendapatan lumayan.

Bekas pegawai berpangkat leftenan itu juga sedang membina rangkaian perniagaan ais krimnya terutama untuk diceburi golongan muda sejajar dengan hasrat kerajaan memperkasa ekonomi Bumiputera.

Malik yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Duta Prosper Sdn Bhd, pemilik jenama Best Ice Cream itu, berkata melalui perniagaan itu beliau bertekad untuk melahirkan sebanyak 10 jutawan aiskrim di seluruh negara dalam tempoh lima tahun.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai jika para usahawan muda menunjukkan kesungguhan dalam perniagaan yang konsepnya adalah mudah, bermodal kecil dan berisiko rendah itu.



PAKEJ USAHAWAN MODAL INSAN

Syarikat itu turut memperkenalkan Pakej Usahawan Modal Insan kepada generasi muda yang ingin menjadi usahawan Best Ice Cream dengan berbekal modal sebanyak RM10,000.

"Kami akan berikan kursus dan latihan selama dua hari satu malam mengenai cara pembuatan aiskrim, pengurusan perniagaan, penyenggaraan peralatan, strategi pemasaran dan motivasi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di Hulu Kelang di sini.

Selain latihan, syarikat juga akan menyediakan kiosk, mesin aiskrim, peti beku (freezer), loceng aiskrim, baju T, topi, apron, lidi buluh serta bahan mentah.

Bapa kepada 10 anak itu berkata, pada masa ini syarikat yang baru berusia tujuh bulan itu telah berjaya melahirkan sebanyak 20 usahawan Best Ice Cream dan 300 lagi masih menunggu kelulusan pinjaman.

"Sekiranya tiada modal, kami akan membantu menguruskan pinjaman di agensi-agensi terpilih dan mendapatkan tapak perniagaan khususnya di tempat-tempat tumpuan orang ramai," katanya.

KONSEP PERNIAGAAN ALA FRANCAIS

Apa yang menarik perniagaan ala francais ini berupaya menjana pendapatan sehingga lebih RM10,000 sebulan jika para usahawannya gigih dan mempunyai rangkaian usahawan yang kukuh di bawahnya.

"Jika anda mengesyorkan perniagaan ini kepada rakan-rakan dan mereka berminat, maka anda akan mendapat insentif secara 'one-off' sebanyak RM500 untuk setiap usahawan yang anda perkenalkan," katanya.

Selain itu, mereka juga akan mendapat royalti sebanyak satu sen bagi setiap aiskrim yang dijual oleh usahawan yang berdaftar di bawah mereka.

"Ini bermakna, semakin besar rangkaian usahawan anda semakin besarlah pulangan yang anda dapat. Ini tidak termasuk pendapatan daripada hasil jualan aiskrim anda sendiri," katanya.



AISKRIM LEMBUT

Malik berkata aiskrim goyang yang menggunakan teknologi Thailand itu sudah lama memasuki pasaran negara ini dan aiskrim itu boleh didapati terutamanya di pasar-pasar malam.

Bagaimanapun aiskrim itu menggunakan bahan minuman berkarbonat dan minuman kotak yang ternyata tidak baik untuk kesihatan kerana kandungan gulanya yang tinggi.

"Justeru, saya mula terfikir untuk memberikan konsep baru kepada aiskrim goyang dan memulakan kajian menggunakan pelbagai bahan termasuk bubur kacang hijau," katanya.

Kajian selama dua tahun itu menghasilkan aiskrim yang lebih enak dan teksturnya lembut berbanding aiskrim yang menggunakan minuman berkarbonat dan minuman kotak.

Melalui kajian itu juga, syarikatnya menghasilkan produk Best Ice Cream dengan tiga perisa yang menggunakan ramuan 'soft' ice cream yang bermutu, berkualiti serta halal termasuk susu tepung skim, minyak koko, minyak isi rung kelapa sawit, esen vanila serta perasa coklat dan strawberi.

Beliau berkata aiskrim itu diproses di sebuah kilang di Batu Caves yang mendapat pengiktirafan sijil Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP) serta sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

KEENAKAN YANG MEMIKAT

Beliau berkata produk Best Ice Cream mula diperkenalkan kepada umum pada September 2013 di Karnival Usahawan Desa, Putrajaya dan mendapat sambutan menggalakkan dengan pembeli mengakui keenakan dan kelembutan aiskrim itu.

"Kami berjaya menjual sehingga 7,000 batang aiskrim goyang pada karnival tiga hari itu dan mesin aiskrim berwarna pelangi juga menarik perhatian bukan sahaja kanak-kanak malahan golongan dewasa," katanya.

Pada masa ini aiskrim perisa coklat dan vanila menjadi kesukaan ramai dan beliau kini bercadang untuk menghasilkan aiskrim perisa durian dan keladi serta ditambah nilai dengan 'topping' coklat.

Mengenai proses membuat aiskrim itu, Malik berkata, ada yang hairan kerana aiskrim itu boleh membeku cepat dengan hanya menggoyang-goyangkan mesin tanpa menggunakan bekalan elektrik.

Beliau berkata proses membuat aiskrim dimulakan dengan mencampurkan garam kasar sebagai bahan utama proses pembekuan, ketulan ais, cecair aiskrim serta air yang dimasukkan ke dalam mesin sebelum digoyangkannya untuk menyebati dan membekukan aiskrim itu.

Ketika separuh beku, lidi-lidi yang akan menjadi pemegang aiskrim dimasukkan ke dalam kelongsong acuan dan digoyang untuk kali kedua bagi membolehkan pembekuan sepenuhnya.

Malik berkata syarikatnya juga bercadang melebarkan rangkaian perniagaan aiskrim goyang itu dengan memasuki pasaran Indonesia apabila kedudukan syarikat bertambah kukuh.

BERNIAGA DI HADAPAN SEKOLAH

Pada masa ini antara lokasi utama perniagaan aiskrim itu yang dikendalikan oleh para usahawannya adalah di lokasi tumpuan ramai termasuk di luar perkarangan sekolah.

Salah seorang usahawan Best Ice Cream, Mohd Farid Malik, 24, mengakui perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan sejak beliau memulakan perniagaan sebulan yang lalu di hadapan Sekolah Kebangsaan Lembah Keramat

"Setelah sebulan berniaga, saya mampu meraih pendapatan mencecah RM3,000, dan tidak lagi bergantung kepada bantuan kewangan ibu bapa," katanya ketika ditemui di lokasi perniagaannya.

Beliau bersyukur melalui perniagaan itu, beliau kini mampu berdikari dan berupaya menghulurkan wang kepada ibu bapanya.

Mohd Farid, dibantu oleh rakannya Mohd Hafizi Abdul Rahman, 21, tiba di hadapan sekolah itu seawal pukul 11.30 pagi bagi sesi pagi dan 5 petang sebelum murid-murid selesai persekolahan sesi petang.

IBU BAPA TURUT MINAT AISKRIM GOYANG

Produk berjenama Best Ice Cream bukan sahaja digemari kanak-kanak malah ibu bapa juga kerana keenakan produk aiskrim tempatan itu setanding dengan jenama aiskrim lain.

Di hadapan sekolah itu, beliau berupaya menjual 300 batang aiskrim dengan nilai jualan sebanyak RM300 sehari.

Menurut Mohd Farid lagi, semasa memulakan perniagaan itu, ada yang cuba membandingkan harga aiskrim jualannya dengan harga aiskrim yang lebih murah di pasar malam.

Bagaimanapun, mereka akhirnya memilih aiskrim jualannya kerana keenakannya yang tersendiri.

Selain berniaga di sekolah, Mohd Farid turut berniaga aiskrim di 'down town' The Mines pada sebelah malam.

"Pada hari biasa saya boleh menjual kira-kira 100 batang aiskrim, tetapi pada hujung minggu dan cuti perayaan, memang tidak menang tangan kerana lebih 300 batang aiskrim saya habis dijual pada sebelah malam," katanya.

Mohd Farid berkata beliau mensasarkan untuk memperolehi pendapatan sehingga RM10,000 sebulan dan sedang mengembangkan perniagaannya menerusi dua orang usahawan di bawah rangkaiannya.

"Saya juga mempromosikan Best Ice Cream jualan saya di laman sosial seperti Facebook dan Instagram dan melaluinya ada juga yang berminat untuk menyertai perniagaan ini," katanya.

sumber : Portal promosi Kementerian Perdagangan dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan.

Idea untuk atasi poket kering!!


Kehidupan sebagai pelajar universiti sememangnya berbeza jika dibandingkan ketika berada di sekolah dahulu. Di zaman sekolah tidak memerlukan duit yang banyak, berbeza apabila seseorang itu sudah diterima masuk ke universiti. Sebagai seorang pelajar universiti yang sedang melalui fasa peralihan persekitaran, tentunya keinginan untuk membeli tidak dapat dielakkan. Melalui satu kaji selidik yang telah dijalankan oleh seorang penyelidik ke atas 165 orang pelajar di Universiti Pertanian Malaysia (UPM), mendapati pelajar lelaki lebih gemar untuk memperuntukkan wang lebih untuk perbelanjaan makanan, pakaian, hiburan, alat-alat tulis, rekreasi, pengangkutan dan perubatan. Manakala pelajar perempuan pula lebih gemar membelanjakan wang mereka untuk tujuan alat-alat kosmetik, bil telefon, hadiah dan lain-lain seperti barang kemas dan membeli majalah hiburan. Namun kekangan hidup sebagai pelajar, menyebabkan ada dalam kalangan pelajar yang terpaksa menolak kesemua keinginan ini ke tepi dahulu. Wang saku yang diberi oleh ibu bapa sering tidak mencukupi dan wang pinjaman PTPN atau biasiswa pula awal-awal lagi sudah lari daripada bajet. Jika diolak-tolak dengan yuran pengajian, duit buku, bayaran sewa rumah bagi yang duduk di luar kampus dan sebagainya, mungkin baki wang yang tinggal hanya cukup-cukup untuk duit makan.

Namun bagi sesetengah pelajar pula, ada yang dalam kalangan mereka ini yang sanggup untuk bersusah payah dengan melakukan kerja secara sambilan. Mereka bekerja untuk memperoleh wang tambahan semata-mata atas keinginan untuk membeli barangan yang dihajati. Ada yang sanggup bekerja di cawangan restoran makanan segera, menjadi juruwang di kedai-kedai serbaneka, bekerja di pasar raya dan sebagainya. Namun tidak kurang juga yang melibatkan diri dalam dunia perniagaan secara kecil-kecilan. Mereka ini kebanyakannya menceburi bidang perniagaan atas sebab seperti:-
Untuk menampung kos perbelanjaan seharian ketika berada di universiti
Tidak mahu mensia-siakan masa yang terluang, terutamanya ketika cuti semester. Dapat belajar pelbagai perkara baru dan dapat menimba pengalaman dalam bidang perniagaan. Dengan menceburi bidang perniagaan, maka tentulah lebih ramai kenalan yang kita dapat.

Melalui artikel ini, kita singkap beberapa jenis perniagaan yang kebiasaannya diceburi oleh para pelajar universiti tempatan, antaranya:-

Menawarkan Servis Jualan Secara Konvensional atau Jualan Dalam Talian

Ramai pelajar yang memenuhi masa senggang mereka dengan berkecimpung dalam bidang perniagaan tidak kira sama ada perniagaan yang berbentuk konvensional atau secara dalam talian. Ada pelajar yang memulakan kemahiran berniaga mereka dengan menjual tambah nilai prabayar talian telefon bimbit. Menambah nilai untuk telefon bimbit merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap pelajar untuk berhubung dengan ibu bapa, rakan dan juga buah hati. Menjual tambah nilai di universiti ini memang untung, pelajar suka bergayut di telefon dan suka menghantar sms. Tambahan pula kalau duduk di kolej kediaman, tentunya pelajar ini malas hendak keluar ke kedai semata-mata untuk membeli kad tambah nilai. Dengan modal permulaan untuk menjadi ejen yang rendah dan hanya perlu melakukan sedikit promosi kepada rakan-rakan, pelajar tadi sudah mampu memulakan perniagaan tambah nilai mereka. Namun keuntungan yang diperoleh daripada menjual tambah nilai ini tidak banyak, rata-rata ejen hanya akan mendapat 3% – 4% sahaja daripada kos jualan. Contohnya, jika pelanggan menambah nilai prabayar sebanyak RM10, ejen hanya akan mendapat RM0.30 – RM0.40 sahaja. Namun, sekiranya pelajar itu rajin dan mempunyai pelanggan yang ramai, maka semakin banyak jualan yang dibuat, semakin untunglah dia. Sekurang-kurangnya dapatlah menampung semula kos tambah nilai untuk telefon bimbit sendiri.

Kaedah membeli dan menjual dalam talian pula, mula menarik perhatian masyarakat kita sejak lebih dua dekad yang lalu. Bagi mereka yang berkira wang, kos pergi ke bandar, mengisi petrol kereta, letak kereta dan makan-makan sepanjang membeli-belah dirasakan lebih tinggi berbanding dengan hanya menekan tetikus dan menurunkan maklumat kad kredit dalam talian di rumah. Bagi mereka, urusan membeli secara dalam talian ini sebenarnya lebih mudah dan harga barangan yang ditawarkan juga ada kalanya lebih murah berbanding yang dijual di kedai atau pasar raya sedangkan jenis pakaian adalah sama. Bagi pelajar yang bijak berniaga, tentunya mereka tidak akan ketinggalan untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian ini. Ramai yang terlibat menjual busana Muslimah seperti jubah, baju kurung, t-shirt, tudung dan sebagainya. Ada juga yang terlibat dalam bidang kulinari, akan memasarkan produk makanan mereka secara dalam talian. Mereka ini ada kalanya hanya perlu ada akaun Facebook sebagai senjata utama dalam perniagaan mereka ditambah dengan sikap dan pengetahuan dalam bidang perniagaan.

Terdapat juga dalam kalangan pelajar yang menceburi bidang Multi-Level Marketing (MLM) ketika masih dalam pengajian. Salah satu faktor penglibatan pelajar adalah disebabkan pengaruh rakan sebaya dan dorongan ejen MLM yang berjaya menarik minat pelajar berkenaan. Sesiapa yang pernah mengikuti taklimat berkaitan MLM, tentunya setuju bahawa yang mendengar taklimat ini kalau tidak kuat imannya tentu akan mudah terpengaruh dengan keistimewaan yang ditunjukkan. Terdapat juga pelajar yang menjadi ahli kerana mereka adalah pengguna produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat MLM tersebut. Dengan menjadi ahli dalam syarikat MLM, maka produk akan dapat dibeli dengan harga keahlian. Walau bagaimanapun, sekiranya pelajar ini terlibat menjadi ejen jualan langsung, banyak masa yang perlu diperuntukkan dan dihabiskan untuk memberi penerangan serta membuat demonstrasi tentang produk yang dijual. Maka adalah sesuatu yang kurang bijak untuk seorang pelajar menceburi perniagaan MLM, melainkan sekiranya pelajar tersebut seorang yang pandai menguruskan masanya sendiri.



Melalui Penulisan

Penulisan adalah merupakan salah satu cara yang amat berkesan untuk menjana pendapatan terutamanya bagi pelajar yang memerlukan wang saku. Ada dalam kalangan pelajar yang menyediakan perkhidmatan penulisan di waktu lapang mereka atau ketika mereka berada dalam cuti semester. Antara perkhidmatan yang boleh ditawarkan adalah seperti menaip tugasan atau tesis untuk pelajar lain, menulis artikel untuk laman web, memberi servis penulisan kreatif atau membuat terjemahan artikel atau buku. Ada juga yang menghantar karya-karya penulisan mereka ke majalah atau akhbar untuk slot-slot rencana ataupun cerpen.

Menulis tidak hanya terhad kepada contoh-contoh di atas sahaja yang lebih bercorak kreatif. Selain itu, terdapat ramai pelajar yang mempunyai minat dan berkecenderungan untuk menulis secara aktif dalam blog mereka sendiri. Blog merupakan satu medium untuk menyalurkan pendapat, berkongsi pengetahuan, memberikan informasi kepada orang ramai. Terdapat pelbagai jenis blog yang mendapat sambutan yang dibuat berdasarkan niche tertentu seperti hiburan, muzik dan yang peribadi. Di samping menulis blog sebagai hobi, blog juga dilihat sebagai salah satu cara yang dapat memberi pelajar tadi pendapatan pasif. Melalui sumber pengiklanan dalam sesebuah blog, wang yang diperoleh sudah tentunya akan masuk ke kocek pemilik blog sendiri. Pelajar yang memiliki blog juga boleh mendaftar untuk iklan daripada Google – AdSense ataupun Nuffnang yang kebiasaannya akan dipaparkan pada banner blog itu sendiri. Contohnya untuk iklan Nuffnang, terdapat dua cara untuk menjana pendapatan, iaitu secara buffered earning atau metered earning. Buffered earning adalah pendapatan yang diperoleh melalui jumlah trafik blog setiap hari. Melalui metered earning pula, setiap klik yang unik akan diberi sagu hati. Pendapatan ini akan diberikan secara bulanan dalam bentuk cek kepada penulis blog tersebut. Di samping itu, pemilik blog juga boleh membuat ulasan tentang produk sama ada perkhidmatan, produk fizikal atau digital dan secara tidak langsung dapat mempromosikan blog mereka sendiri. Mungkin setelah terkenal, akan ada pihak yang membayar untuk mengulas produk keluaran syarikat mereka sendiri pula!

Menawarkan Servis Perkhidmatan


Bagi pelajar yang mempunyai kemahiran, ramai juga yang menawarkan khidmat yang berkaitan dengan kemahiran mereka. Antara contoh perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti khidmat membaiki komputer, membuat laman web, khidmat fotografi dan video untuk majlis formal dan yang tidak formal. Servis perkhidmatan sebenarnya amat menguntungkan, kerana tiada modal permulaan yang diperlukan oleh pelajar, hanya memerlukan kemahiran mereka dalam sesuatu bidang itu sahaja. Untuk pelajar yang mempunyai kebijaksanaan dalam sesuatu subjek pula, ada yang akan diupah rakan pelajar lain untuk memberikan mereka perkhidmatan tuisyen secara persendirian.

Selain itu, bagi mereka yang mempunyai pencetak mereka sendiri pula, ada juga yang menawarkan khidmat mencetak untuk tugasan atau tesis pelajar sendiri. Kebiasaannya harga yang ditetapkan, tidak lah tinggi. Mungkin sama harganya berbanding dengan yang dikenakan oleh kafe siber atau kedai-kedai yang terdapat di universiti.

Kesimpulan

Tidak dinafikan pengalaman belajar di universiti memang berharga. Banyak perkara yang boleh dipelajari dan pelajar juga diberi kebebasan untuk menentukan banyak hal dalam kehidupan mereka. Selain itu pelajar perlu berdikari menguruskan hidup sama ada dari aspek belajar, kewangan dan sebagainya. Jika dilihat daripada aspek kewangan, bukan mudah untuk pelajar ini tadi memenuhi tuntutan keperluan dan kemahuan. Ada pelajar yang sanggup bekerja untuk menjana pendapatan sampingan. Ada juga pelajar yang melibatkan diri mereka dalam bidang keusahawanan demi untuk mencari duit lebih. Dalam Islam sendiri, aktiviti ekonomi yang berbentuk perniagaan amatlah digalakkan. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan pelajar ini cenderung untuk melibatkan diri dalam bidang perniagaan, antaranya adalah seperti minat terhadap mata pelajaran perdagangan dan keusahawanan, persepsi positif dan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan serta dorongan dan galakan daripada ibu bapa sendiri.

Terdapat beberapa contoh perniagaan yang dijalankan oleh pelajar, antaranya menawarkan servis penjualan secara konvensional atau penjualan dalam talian, menawarkan khidmat penulisan dan menawarkan servis perkhidmatan. Bagi mereka, yang penting rezeki yang diperoleh dapat menampung kos perbelanjaan mereka ketika di universiti. Namun begitu pembahagian masa dan disiplin adalah perkara yang sangat penting bagi seorang mahasiswa dan mahasiswi. Bagi mereka yang terlibat secara serius dalam bidang keusahawanan pada peringkat pengajian ini, mereka sebenarnya terdedah kepada risiko penangguhan dan kegagalan menamatkan pengajian. Mahasiswa dan mahasiswi yang cuba menjana pendapatan dengan melakukan kerja sampingan dan menjalankan perniagaan ketika masih di universiti ini perlulah sentiasa diingatkan agar pandai menjaga masa dan seterusnya boleh menjaga segala aktiviti mereka dengan lebih terurus.

sumber : USAHAWAN.COM.
http://www.usahawan.com/idea-bisnes/cara-pelajar-menambah-pendapatan-di-universiti.html

Tingkat daya tahan usahawan IKS


Oleh : Oleh Muhammad Nizam Ab Ghani

Walaupun bermastautin di negeri Cik Siti Wan Kembang lebih 10 tahun, namun penulis baru-baru ini hanya menyedari kewujudan kawasan zon jualan serunding di pinggir bandar Kota Bharu. Serunding atau popular dengan nama sambal daging dalam kalangan masyarakat Kelantan adalah makanan tambahan yang boleh disajikan dengan nasi atau roti bahkan boleh dimakan begitu saja.

Zon serunding yang penulis nyatakan itu terletak di kawasan perumahan kampung yang terdiri daripada beberapa orang pengusaha Bumiputera. Berkat kegigihan meneruskan perniagaan keluarga yang diwarisi sejak turun-temurun, kebanyakan pengusaha serunding berkenaan mampu meraih pendapatan yang lumayan.

Sedikit coretan usahawan serunding ini adalah sebahagian pengamatan penulis terhadap Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Secara keseluruhan kemajuan IKS di Malaysia berada pada status memuaskan. Walaupun tahap produktiviti yang dihasilkan oleh IKS tempatan masih belum dapat menandingi beberapa negara maju seperti Jepun, Britain dan Amerika Syarikat, namun kita bertuah kerana bilangan firma IKS di Malaysia mencecah 99 peratus daripada jumlah keseluruhan institusi perniagaan.

Fakta ini adalah testimoni bahawa rakyat Malaysia berminat menceburi bidang keusahawanan tetapi kita perlu sedar bahawa dunia perniagaan penuh berliku. Justeru, seorang usahawan perlu berwaspada bagi mengelakkan sebarang kerugian.

Satu kajian dijalankan oleh sekumpulan penyelidik mendapati usahawan yang menceburi sebarang perniagaan IKS perlu bersiap sedia untuk menghadapi risiko kerugian dalam tempoh lima tahun yang pertama.

Dari satu sudut, kerajaan sudah mewujudkan beberapa agensi yang bertindak sebagai pemudah cara untuk membantu bakal usahawan menubuhkan perniagaan mereka merangkumi khidmat nasihat dan bantuan dana modal bagi memulakan perniagaan. Ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Pelan Induk IKS 2012-2020.

123 N 123 123 N 123

Pelan induk selama lapan tahun ini dirangka khusus untuk menjadikan IKS sebagai tunjang ekonomi negara dengan mengunjurkan menjelang 2020 kelak sektor ini bakal menyumbang sebanyak 41 peratus kepada KDNK Malaysia.

Malaysia dijangka tidak menghadapi laluan sukar untuk merealisasikan unjuran itu kerana saban tahun sebanyak 1,000 firma IKS yang baru ditubuhkan di negara ini.

Bagaimanapun, belum ada jaminan bahawa sekalian usahawan IKS itu akan konsisten dengan bidang diceburinya. Rata-rata tidak ramai usahawan IKS di Malaysia yang mampu bertahan lama. Perkara ini ada kaitan dengan aspek pembangunan modal insan iaitu faktor utama bagi menggerakkan IKS.

Usahawan bidan terjun Kita tidak boleh menolak andaian terdapat segelintir usahawan menyertai IKS secara bidan terjun. Kelompok usahawan sebegini berada dalam zon bahaya kerana mereka langsung tiada pengalaman dalam banyak perkara, termasuk pengurusan kewangan dan pemasaran produk. Kesudahannya perniagaan yang dijalankan gulung tikar.

Dalam pada itu, ada juga kelompok usahawan yang benar-benar berminat untuk berniaga serta sedia dilatih, namun masih terkapai-kapai mencari bidang perniagaan yang sesuai dengan kemampuan diri.

Penulis membangkitkan soal kemampuan diri ini kerana terdapat sesetengah perniagaan memerlukan penguasaan kepakaran teknologi tinggi yang mungkin mengambil masa untuk dikuasai. Lantaran itu penerokaan bidang baru yang mudah untuk diceburi seperti penghasilan produk asas tani adalah satu cara yang dapat melonjakkan keyakinan usahawan baru IKS yang sedang berusaha membina tapak dalam industri berkenaan.

Pembabitan dalam bidang produk asas tani ada kena mengena dengan isu keperluan makanan domestik. Kita perlu akui bahawa keperluan makanan rakyat Malaysia hari ini bergantung kepada import dari luar negara seperti haiwan ternakan, sayur-sayuran dan buahan-buahan.

Pergantungan kepada produk import memberi kesan ketidakstabilan harga barangan keperluan rakyat seperti ayam. Baru-baru ini didedahkan bahawa harga dedak ayam import yang semakin mahal menjadi punca kenaikan harga ternakan itu.

Maka lebih baik sekiranya sebahagian usahawan IKS negara ini dapat digembleng bagi meneroka industri penghasilan makanan haiwan ternakan yang lebih murah tetapi berkualiti. Sebenarnya tidak salah untuk IKS Malaysia menetapkan visi menembusi pasaran global asalkan terlebih dulu memberi sumbangan signifikan kepada keperluan domestik seperti penghasilan dedak tempatan demi menstabilkan harga ayam.

sumber artikel : myMetro - 21 Ogos 2013

Melahirkan usahawan muda tani


Melahirkan usahawan muda tani


Penglibatan golongan belia, khususnya graduan dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam program keusahawanan yang dianjurkan kerajaan menunjukkan perkembangan positif ke arah melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berwibawa dan berdaya saing pada masa depan.

Begitu pun, dalam usaha melahirkan usahawan muda berdaya maju, golongan tersebut perlu banyak belajar supaya mereka dapat menimba pengetahuan dan kebolehan sebagai persiapan diri menghadapi cabaran.

Itulah matlamat utama Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila menganjurkan Program Inkubasi Usahawan Tani, iaitu program berbentuk latihan dan keusahawanan yang bertujuan untuk melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan pertanian merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan perniagaan tani.

Program itu dizahirkan menerusi peruntukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berjumlah RM3.8 juta dengan melancarkan program siri pertama pada Februari tahun lalu dan berjaya mencapai matlamat selepas 35 peserta tiga modul menamatkan program mereka.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Mohd Fauzi Ramlan berkata, program itu memasuki siri kedua dengan penglibatan 48 orang yang juga Ahli Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis).

Beliau berkata, objektif program adalah untuk melahirkan siswa tani yang cemerlang dan berwibawa, selain bersedia melaksanakan projek pertanian selepas tamat berkursus.

“Ia juga menjadi penghubung bagi penempatan graduan UPM berkaitan pertanian untuk mengikuti latihan usahawan di institusi dalam dan luar negara,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Majlis Penuaian Ikan Tilapia, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013, di Puchong, baru-baru ini.

Tambahnya, program itu adalah selaras dengan matlamat keempat Pelan Strategik UPM 2011 hingga 2013 yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.

“Matlamat itu adalah untuk memperkasakan UPM sebagai pusat kecemerlangan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan pertanian serta bio-sumber tropika. UPM akan menjadi pusat rujukan sehenti berkaitan pembangunan usahawan tani,” katanya.

Program Inkubasi Usahawan Tani 2013

Menurutnya, Program Inkubasi Usahawan Tani 2013 melibatkan 48 peserta daripada pelbagai fakulti dan telah dijalankan sejak 2 Januari lalu dan berlangsung sehingga enam bulan lamanya iaitu sehingga 28 Jun depan.

Katanya, seiring dengan penyertaan dari pelbagai fakulti lain maka kini terdapat enam modul kursus yang ditawarkan kepada peserta program berbanding tiga, pada tahun lalu.

“Enam modul kursus tersebut ialah tanaman rock melon, akuakultur, ternakan ayam kampung, perkhidmatan makanan, modul perdagangan dan ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata, KPT telah memperakukan dan meluluskan peruntukan bagi tahun ini sebanyak RM2.6 juta. Jelasnya, sepanjang enam bulan mengikuti modul disediakan, dua bulan daripadanya dikhususkan untuk peserta mempelajari teori berkaitan ilmu keusahawanan, pelan perniagaan dan cara membuat persembahan di depan panel.

“Mereka juga diajar mengenai kemahiran komunikasi yang diperlukan dalam menjalinkan kerjasama pada masa depan,” katanya.

“Objektif utamanya ialah untuk meningkatkan pengetahuan keusahawanan dari semua aspek, melatih peserta supaya lebih berdikari dan meningkatkan tahap keyakinan diri bagi mengharungi dunia perniagaan sebenar selepas tamat latihan,” katanya.

Baki empat bulan kursus pula banyak ditumpukan kepada latihan amali.

“Setiap peserta akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan akan diberikan wang pinjaman sebanyak RM10,000 sebagai pendahuluan bagi memulakan projek mereka.

“Peserta akan dilatih bagi menguruskan projek dengan kaedah pengurusan yang terkini di samping pemantauan projek bermula daripada pengeluaran sehingga memasarkan produk.

“Sasaran utama ialah meningkatkan pengetahuan pengurusan dan teknikal projek dengan berkesan bagi memastikan peserta dapat memaksimumkan penggunaan sumber dan memastikan pulangan projek ke tahap maksimum,” jelasnya.

Katanya, sepanjang tempoh berkursus setiap peserta menerima elaun khas, RM1,000 sebulan, selain makan dan minum serta tempat penginapan.

Menurutnya, program ini menerima pengiktirafan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan perjanjian turut dimeterai antara UPM dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), baru-baru ini.

“Peserta juga menerima pinjaman yang disediakan oleh Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

“Kerjasama yang terjalin di antara agensi kerajaan dan swasta bagi memudahkan peserta mendapatkan modal pinjaman awal serta lokasi perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, ada baiknya peserta kursus meneruskan proses pembelajaran dengan syarikat swasta terutama dalam mendapatkan bantuan teknikal dan pengalaman.

“Diharap program seperti ini dapat memupuk disiplin dan kerjasama dalam kalangan peserta supaya menjadi usahawan berjaya,” katanya.

Tuaian ikan tilapia merah

Sementara itu, bagi Program Inkubasi Usahawan Tani 2012, seramai 16 peserta menubuhkan lapan syarikat, sama ada secara perseorangan atau berkongsi dengan rakan untuk memulakan perniagaan masing-masing setelah tamat mengikuti program tersebut.

“Mereka mendapat pinjaman perniagaan daripada Agrobank dan Tekun bagi memulakan perniagaan masing masing,” katanya.

Lapan syarikat tersebut ialah Gemilang AgroBiz Enterprise, Fresh Farm Enterprise, Jasz Abdullah Enterprise, JL Agro Enterprise, World Garage Resources Enterprise, Jasz Enterprise dan Budget Hot Enterprise.

“Gemilang AgroBiz Enterprise memulakan projek menternak ikan tilapia merah pada Januari lalu setelah Agrobank meluluskan pinjaman RM20,000 dengan permulaan 10,000 ekor anak ikan berkenaan di 30 sangkar.

“Hari ini merupakan waktu tuaian bagi ikan-ikan tersebut selepas dibela selama dua bulan dan berat bagi setiap ikan tersebut mampu mencecah sehingga 400 gram dengan harga pasaran RM14 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, setiap peserta teruja dan mereka merupakan generasi baru yang secara langsung melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan juga usahawan tani.


sumber artikel : Sinar harian - 16 April 2013
 : http://www.sinarharian.com.my/rencana/melahirkan-usahawan-muda-tani-1.150512